To achieve the highest level of professionalism among Islamic Finance practitioners

Block B4-3-1,

Solaris Dutamas

9:00 AM - 6:00 PM

Monday to Friday

Pendigitalan dalam Kewangan Islam: Peluang dan Cabaran

Pendigitalan dalam Kewangan Islam: Peluang dan Cabaran

Dr Shamsiah binti Mohamad
CSA 17011009

Abstrak

Artikel ini membincangkan peluang dan cabaran dalam pendigitalan sistem kewangan Islam. Pendigitalan telah menjadi pemangkin kepada transformasi dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan Islam, melalui pengintegrasian teknologi digital. Walaupun ia menawarkan potensi untuk memperluas capaian, meningkatkan kecekapan, dan memperkenalkan inovasi produk, ia juga membawa cabaran seperti pematuhan Syariah, keselamatan siber, dan kekurangan kepakaran. Artikel ini mengupas secara sistematik bentuk peluang dan cabaran ini, serta mencadangkan langkah ke hadapan bagi memastikan pendigitalan menyumbang kepada kemajuan kewangan Islam sejajar dengan prinsip Syariah.

1. Pendahuluan

Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, perkataan pendigitalan berasal daripada digital. Digital didefinisikan sebagai (komputer) beroperasi dengan menggunakan angka atau aksara lain untuk mewakili data. Sementara pendigitalan membawa maksud proses mendigitalkan.

Dewasa ini, pendigitalan telah menjadi satu daya transformasi pelbagai sektor termasuk kewangan Islam. Pengintegrasian teknologi digitaI dalam sistem kewangan Islam membuka pelbagai peluang dan pada masa yang sama mendedahkannya kepada pelbagai cabaran. Prospek dan cabaran ini sebenarnya boleh memberi kesan yang besar kepada pertumbuhan, kebolehcapaian, dan pematuhan kepada prinsip Syariah.

Artikel ini akan memperkatakan tentang bentuk-bentuk peluang dan cabaran utama dalam pendigitalan sistem kewangan Islam.

2. Peluang dalam pendigitalan sistem kewangan Islam

Pendigitalan telah membuka pelbagai peluang kepada institusi kewangan Islam untuk meningkatkan keberkesanan dan daya saing mereka. Antara bentuk peluang yang boleh membawa kewangan Islam lebih maju ke hadapan adalah sebagaimana berikut:
i. Rangkuman kewangan yang lebih luas
ii. Penambahbaikan dalam aspek kecekapan dan pengurangan kos
iii. Peningkatan inovasi dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam
iv. Peningkatan pengalaman dan kesetiaan pelanggan
v. Peningkatan kecekapan semakan pematuhan dan pengawasan Syariah
vi. Peningkatan ketelusan dan akauntabiliti
vii. Peningkatan kecekapan analisis data dan pengurusan risiko
viii. Peningkatan kepantasan dan kecekapan transaksi rentas sempadan

2.1 Rangkuman kewangan yang lebih luas

Dengan penggunaan teknologi, institusi kewangan Islam dapat memperluaskan jangkauan perkhidmatannya kepada populasi yang lebih luas termasuk komuniti yang tidak mendapat perkhidmatan perbankan (unbankable communities) atau yang kurang mendapat layanan perkhidmatan kewangan (underserved communities) (Nurfadilah & Samidi, 2021) terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman atau terpencil. Ini penting kerana sistem kewangan Islam berpotensi untuk menjangkau segmen masyarakat yang sebelum ini terpinggir daripada sistem kewangan formal (Kanwal, 2023; Mujiatun, 2023).

2.2 Penambahbaikan dalam aspek kecekapan dan pengurangan kos

Pendigitalan sistem kewangan Islam juga menawarkan penambahbaikan yang signifikan dalam aspek kecekapan dan pengurangan kos. Dengan mengautomasi pelbagai proses, institusi kewangan Islam dapat mempercepatkan urusan seperti pembukaan akaun, permohonan pembiayaan, pemprosesan transaksi, dan semakan pematuhan. Proses automasi ini
sebagaimana yang dinyatakan oleh World Development Report 2016, bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.

Tambahan pula, dengan pengurangan cawangan fizikal, institusi kewangan Islam dapat menjimatkan kos yang berkaitan dengan penyewaan ruang, gaji kakitangan, dan utiliti dengan menggunakan fasiliti digital. Ini bukan sahaja mengurangkan kos tetapi juga meningkatkan keberkesanan penggunaan sumber.

2.3 Peningkatan inovasi dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam

Selain daripada itu, kerjasama antara institusi kewangan Islam dan syarikat teknologi kewangan (Fintech) adalah salah satu cara untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang patuh Syariah dan inovatif. Contohnya, produk sukuk digital, saham digital, dan platform pembiayaan peer-to-peer (P2P) dapat diperkenalkan melalui inisiatif ini (Hidajat, 2020).

Malah, pendigitalan juga memberi peluang yang luas kepada penciptaan penyelesaian kewangan yang direka khas mengikut keperluan dan kehendak pelanggan.

2.4 Peningkatan pengalaman dan kesetiaan pelanggan

Pendigitalan juga dapat memberi peluang kepada pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan kewangan Islam dengan lebih mudah dan boleh diakses bila-bila masa tanpa had waktu. Ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan dan seterusnya meningkatkan kesetiaan pelanggan dengan institusi kewangan Islam (Rasli et al., 2022).

2.5 Peningkatan kecekapan semakan pematuhan dan pengawasan Syariah

Selain daripada itu, apabila proses semakan pematuhan dan pengawasan Syariah dilakukan secara digital, ia dapat meningkatkan kecekapan malah dapat memastikan setiap transaksi mematuhi prinsip Syariah secara masa nyata (real time). Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dapat membantu dalam meningkatkan kepatuhan Syariah dalam setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan (Atichasari, et al., 2023).

2.6 Peningkatan ketelusan dan akauntabiliti

Rekod yang disimpan dalam bentuk digital, terutamanya melalui teknologi blockchain, dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti (Lee & Zhang, 2023) dalam transaksi kewangan Islam. Kesemua ini akan membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan dan pelabur dan seterusnya meningkatkan reputasi kewangan Islam.

2.7 Peningkatan kecekapan analisis data dan pengurusan risiko

Pendigitalan mampu membantu institusi kewangan Islam untuk menganalisi data dengan lebih cepat dan cekap terutama dengan menggunakan alat analisis data dan kecerdasan buatan (AI). Ini akan membolehkan institusi kewangan Islam lebih memahami tingkah laku pelanggan dan mengurus risiko dengan lebih efektif (Shehadeh et al. 2024).

Selain daripada itu, dengan menggunakan data yang besar (big data), institusi kewangan Islam dapat membuat ramalan tentang trend pasaran dan seterusnya mengurangkan potensi risiko kewangan. Ini membolehkan institusi membuat keputusan strategik yang lebih bijak dan responsif terhadap perubahan dalam pasaran.

2.8 Peningkatan kepantasan dan kecekapan transaksi rentas sempadan

Pendigitalan akan membantu dalam memudahkan transaksi rentas sempadan dalam bentuk yang lebih pantas dan cekap. Dengan menggunakan platform digital, institusi kewangan Islam dapat mengurangkan masa dan kos yang terlibat dalam pemindahan dana antarabangsa. Ia merupakan satu sokongan kepada pembangunan dan pengembangan kewangan Islam diperingkat global (Shehadeh et al. 2024).

3. Cabaran pendigitalan sistem kewangan Islam

Walaupun pendigitalan menawarkan pelbagai manfaat kepada kewangan Islam, pelaksanaannya tidak terlepas daripada menghadapi cabaran yang signifikan. Beberapa isu kritikal timbul berkaitan dengan keperluan mematuhi prinsip Syariah, keselamatan teknologi, dan kesediaan institusi untuk berubah. Sekiranya cabaran-cabaran ini tidak ditangani dengan teliti, ia boleh menjejaskan keberkesanan transformasi digital serta kepercayaan pengguna terhadap institusi kewangan Islam.

Antara cabaran yang akan dihadapi oleh kewangan Islam apabila melaksanakan digitalisasi adalah seperti berikut:
i) Memastikan pematuhan Syariah bagi produk dan perkhidmatan kewangan digital
ii) Penyesuaian rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan dengan inovasi digital
iii) Keselamatan siber dan perlindungan data
iv) Kekurangan infrastruktur teknologi
v) Kekurangan kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi dan kewangan Islam
vi) Meningkatkan kepercayaan dan penggunaan dalam kalangan pengguna
vii) Tiada keseragaman keputusan Syariah di peringkat global

3.1 Memastikan pematuhan Syariah bagi produk dan perkhidmatan kewangan digital

Antara cabaran terbesar yang akan dihadapi oleh pihak yang terlibat dengan kewangan Islam ialah memastikan produk dan perkhidmatan kewangan digital mematuhi sepenuhnya prinsip Syariah (Laldin & Fares, 2019) terutama apabila ia melibatkan penggunaan kontrak pintar (smart contracts) dan teknologi rantaian blok (blockchain). Ini kerana ia memerlukan satu proses pengawasan dan penilaian yang ketat serta berterusan (Kammer et al. 2015) yang mungkin berbeza daripada proses biasa dalam sistem tradisional.

3.2 Penyesuaian rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan dengan inovasi digital

Dalam dunia digital, inovasi boleh berkembang dengan pesat dan ini tentu sekali menjadi satu cabaran kepada kewangan Islam. Ini kerana ia perlu menghadapi landskap perundangan dan pengawalseliaan yang kompleks yang mungkin belum sepenuhnya disesuaikan dengan inovasi digital. Oleh itu, adalah penting untuk pihak berkuasa dan penggubal undang-undang untuk mengkaji dan mengemas kini rangka kerja perundangan agar selaras dengan perkembangan teknologi (Laldin & Fares, 2019).

3.3 Keselamatan siber dan perlindungan data

Pendigitalan juga meningkatkan risiko serangan siber dan kebocoran data. Institusi kewangan Islam perlu memastikan bahawa maklumat peribadi pelanggan dilindungi dengan langkah-langkah keselamatan yang kukuh. Menurut Kammer et al. (2015), perlindungan data dan keselamatan siber adalah aspek kritikal yang perlu diberi perhatian untuk membina kepercayaan di kalangan pelanggan. Ini termasuk mematuhi undang-undang perlindungan data yang relevan dan memastikan bahawa sistem yang digunakan adalah selamat daripada ancaman siber.

3.4 Kekurangan infrastruktur teknologi

Kekurangan infrastruktur teknologi di sesetengah kawasan boleh menghalang pelaksanaan penyelesaian kewangan Islam secara digital. Tlemsani dan Matthews (2019) menekankan bahawa infrastruktur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan kesukaran dalam menyediakan perkhidmatan yang efisien dan selamat. Oleh itu, adalah penting untuk pihak yang terlibat dalam industri kewangan Islam untuk memastikan bahawa mereka mempunyai infrastruktur yang mencukupi untuk menyokong operasi digital mereka.

3.5 Kekurangan kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi dan kewangan Islam

Institusi kewangan Islam juga menghadapi cabaran dalam mendapatkan profesional yang mempunyai kepakaran dalam kedua-dua bidang; kewangan Islam dan teknologi. Adinugraha et al. (2023) menyatakan bahawa kekurangan
kemahiran ini boleh menghalang pelaksanaan pendigitalan yang berkesan. Oleh itu, usaha perlu dilakukan untuk mengadakan program pendidikan dan latihan yang berterusan bagi membangunkan kemahiran yang diperlukan dalam industri ini.Oleh itu, usaha segera perlu dibuat untuk mengadakan program pendidikan dan latihan yang berterusan berkaitan teknologi yang sentiasa berkembang pesat setiap masa.

3.6 Meningkatkan kepercayaan dan penggunaan dalam kalangan pengguna

Sikap skeptikal dalam kalangan masyarakat terhadap produk dan perkhidmatan digital merupakan salah satu cabaran lain yang perlu diatasi. Oleh itu, membina kepercayaan terhadap produk dan perkhidmatan kewangan Islam digital memerlukan demonstrasi kebolehpercayaan, keselamatan, dan pematuhan Syariah (Laldin & Fares, 2019). Jika ini tidak dilakukan secara serius, maka penerimaan alternatif digital akan menjadi lebih perlahan.

3.7 Tiada keseragaman keputusan Syariah

Akhir sekali, terdapat cabaran dalam memastikan keseragaman keputusan Syariah di pelbagai negara. Kepelbagaian keputusan Syariah dan piawaian pengawalseliaan yang berbeza boleh merumitkan usaha untuk membangunkan penyelesaian digital yang seragam. Ini termasuk keperluan untuk mengharmonikan amalan digital dengan peraturan di peringkat tempatan dan antarabangsa, terutamanya dalam konteks transaksi rentas sempadan (Laldin & Fares, 2019).

4. Kesimpulan

Pendigitalan memberi peluang kepada kewangan Islam untuk meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan, inovasi dan seterusnya menjadikannya sentiasa relevan dalam dunia kewangan moden. Walau bagaimanapun, perjalanan ke arah pendigitalan tidaklah mudah. Ini kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi. Untuk menjayakan usaha intergrasi digital ini, pengurusan cabaran tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati. Antara aspek utama yang perlu diambil perhatian adalah memastikan pematuhan Syariah, membina rangka kerja pengawalseliaan yang kukuh, membuat persediaan yang jitu dalam
menghadapi ancaman siber, dan membina kepercayaan dalam kalangan pengguna. Apabila institusi kewangan Islam dapat menangani cabaran-cabaran tersebut secara strategik, ia tentu sekali dapat memanfaatkan pendigitalan untuk mencapai misinya dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang beretika dan inklusif.

RUJUKAN

Adinugraha, H., Shulhoni, M., & Achmad, D. (2023). Islamic Social Finance in Indonesia: Opportunities, Challenges, and Its Role in Empowering Society. Review of Islamic Social Finance and Entrepreneurship, 2(1) 45-62. Capaian daripada https://doi.org/10.20885/risfe.vol2.iss1.art4, akses pada 17 Oktober 2024.


Atichasari, A. S., Kristanti, N. H., & Wulandari, S. S. (2023). Analysis of Quality and Implementation of Sharia Financial Services Based on Financial Technology in Indonesia. International Journal of Current Science Research and Review, 6(7) 4941-4947. Capaian daripada https://doi.org/10.47191/ijcsrr/V6-i7-110, akses pada 17 Oktober 2024.

Bank Negara Malaysia, Laporan Tahunan BNM 2022. Capaian daripada https://www.bnm.gov.my/documents/20124/10150308/ar2022_bm_ch1d.pdf, akses pada 16 Oktober 2024.


Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Empat. Capaian melalui https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=digital, akses pada 15 Oktober 2024.


Hidajat, T. (2020). Financial Technology In Islamic View. Perisai Islamic Banking and Finance Journal, 4(2), 102-112. Capaian daripada https://doi.org/10.21070/perisai.v4i2.465, akses pada 17 Oktober 2024.


Kammer, A., Norat, M., Piñon, M., Prasad, A., Towe, C., & Zeidane, Z. (2015). Islamic finance: opportunities, challenges, and policy options. Imf Staff Discussion Note, 15(5), 1. Capaian daripada https://doi.org/10.5089/9781498325035.006, akses pada 17 Oktober 2024.


Kanwal, A. (2023). Exploring the Nexus of Financial Technologies, Financial Inclusion, and Blockchain in Islamic Finance Within Digital Transformation. Pakistan Journal of Humanities and Social Sciences, 11(4). Capaian daripada https://doi.org/10.52131/pjhss.2023.1104.0675 akses pada 16 Oktober 2024.

Laldin, Mohamad Akram & Djafri, Fares (2019), Islamic Finance in The Digital World: Opportunities and Challenges (Kewangan Islam dalam Dunia Digital: Peluang dan Cabaran), Journal of Islam in Asia, International Islamic University Malaysia, 16(3), hlm. 283-299. Capaian daripada https://journals.iium.edu.my/jiasia/index.php/jia/article/view/853/407, akses pada 15 Oktober 2024.


Lee, K. L., & Zhang, T. (2023). Revolutionizing supply chains: unveiling the power of blockchain technology for enhanced transparency and performance. International Journal of Technology, Innovation and Management (IJTIM), 3(1), 19-27. Capaian daripada https://journals.gaftim.com/index.php/ijtim/article/download/216/110, akses pada 17 Oktober 2024.

Mujiatun, S. (2023). Mujiatun, S., Badawi, A. (2023) Root Cause Analysis Factors Against Islamic Banking Financial Inclusion. International Journal of Professional Business Review, 8(5), e01053. https://doi.org/10.26668/businessreview/2023.v8i5.1053


Nurfadilah, D., & Samidi, S. (2021). How The Covid-19 Crisis Is Affecting Customers’intention To Use Islamic Fintech Services: Evidence From Indonesia. Journal of Islamic Monetary Economics and Finance, 7, 83-114. Capaian daripada https://doi.org/10.21098/jimf.v7i0.1318 akses pada 16 Oktober 2024.


Rasli S., Aris A. A. & Abdul Razak N.H. (2022), Does E-Banking Services Quality Affect E-Customer Loyalty Of Islamic Banks? Selangor Business Review, 7(2), 46-59. Capaian daripada https://sbr.journals.unisel.edu.my/ojs/index.php/sbr/article/view/117/81, akses pada 16 Oktober 2024.


Saba, I., Kouser, R. & Chaudhry, I.S. (2019). FinTech and Islamic Finance-Challenges and Opportunities, Review of Economics and Development Studies 5(4). Capaian daripada https://www.researchgate.net/publication/338342216_Fintech_and_Islamic_Finance-challenges_and_Opportunities, akses pada 16 Oktober 2024.

Shehadeh M., Abu-AlSondos I.A., Ajouz M., Aldulaimi S. H., Bani A. A., Abdeldayem M. (2024). Digital Transformation and Its Implications for The Future of Financial Intermediation in Islamic Institutions. Dibentang dalam ASU International Conference in Emerging Technologies for Sustainability and Intelligent Systems (ICETSIS). Capaian daripada https://doi.org/10.1109/ICETSIS61505.2024.10459524, akses pada 17 Oktober 2024.


Tlemsani, I. and Matthews, R. (2019). Conventional banks risk diversification: a case for islamic finance. Theoretical Economics Letters, 09(06), 1967-1980. Capaian daripada https://doi.org/10.4236/tel.2019.96125, akses pada 17 Oktober 2024.


World Development Report 2016, capaian daripada https://documents1.worldbank.org/curated/pt/896971468194972881/310436360_20160263021313/additional/World-development-report-2016-digital-dividends.pdf, akses pada 16 Oktober 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published.